Wednesday, October 6, 2010

Pemilihan KEADILAN : Mandat Di Tangan Setiap Anggota

Dari begitu banyak ulasan dalam blog, Facebook dan Twitter yang saya ikuti dengan dekat, terpancar kekhuatiran akibat berlakunya pertandingan dalam proses pemilihan parti KEADILAN.
Kita harus akui bahawa KEADILAN mempamerkan keberanian dan ketegasan luar biasa menetapkan sistem pemilihan terbuka dan langsung dari setiap anggota. Ini bermakna pencalonan dan pemilihan ditentukan oleh anggota parti dan bukan wakil mereka.
Pemilihan kali ini mengundang perhatian umum. Ini bermakna KEADILAN kini terangkul sebagai di antara parti utama negara.
Saya yakin Jawatankuasa Pemilihan akan memantau teliti agar kod etika dipatuhi – fitnah dan sogokan dihindari. Namun lebih dari itu, anggota partilah yang seharusnya membuat penilaian dan akhirnya penentuan.
KEADILAN digerakkan sebagai parti perjuangan menolak kezaliman dan menegak keadilan. Saf kepimpinan perlu tegas dan mantap memberi nafas reformasi.
Meski pun ternyata ada agenda luar termasuk media Umno-BN dan gerombolan luar yang akan teruskan dengan politik adu domba, mengheret khalayak membicara dari sudut negatif, saya yakin anggota parti akan memilih kepimpinan berdasarkan prinsip perjuangan, ikatan dan adab jamaah.
ANWAR IBRAHIM

Kenyataan Presiden Sempena Pemilihan

Alhamdulillah, pemilihan KeADILan 2010 ternyata mencatat sejarah politik tanah air apabila KeADILan menjadi pelopor kepada kaedah pemilihan berdasarkan satu ahli satu undi. Dalam erti kata sebenarnya, demokrasi dibudayakan sepenuhnya di dalam KeADILan dan bukan sekadar slogan kosong.
Saya yakin pemilihan ini pastinya menarik perhatian segenap lapisan masyarakat seluruh Malaysia. Maka proses yang dilalui seharusnya tersusun dan tidak menampakkan sebarang cacat cela.
Justeru, saya mengharapkan agar ruang Pemilihan kali ini harus dibudayakan dengan penuh tertib dan etika. Sebaran jamak pandangan yang berlaku harus dirai dengan penuh sopan dalam disiplin parti sebagaimana digariskan dalam Etika Pemilihan parti.
Saya juga menyeru agar Pemilihan ini dijadikan platform untuk ahli menilai barisan kepimpinan yang mantap dan segar idealisme bagi memandu KeADILan untuk merealisasikan harapan rakyat ke arah Malaysia yang demokratik dan madani.
DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)